Ahli Pengakap diingatkan agar lebih berdisiplin



MOHAMAD Shahrom Osman (tengah) memeriksa perbarisan Pengakap Muda Sekolah Menengah Kebangsaan Merapoh selepas merasmikan Jambori Lencana Kepandaian Pengakap Kanak-kanak dan Remaja daerah Lipis, di Kem Pengakap Kampung Chat, Benta, semalam.
KUALA LIPIS 13 Mei - Setiap ahli pasukan Pengakap diingatkan supaya lebih berdisiplin, hormat-menghormati dan memiliki jati diri yang tinggi sejajar dengan aspirasi konsep 1Malaysia yang digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman berkata, usaha itu perlu dipikul bersama supaya organisasi itu ditonjolkan sebagai pasukan beruniform yang boleh membina disiplin diri dan jati diri kanak-kanak, remaja dan belia.
"Saya yakin berasaskan penghayatan Persetiaan dan Undang-undang Pengakap, amalan disiplin yang diamalkan oleh ahli dapat membentuk mereka lebih berdikari dan berjaya dalam kehidupan kelak.
"Penghayatan ilmu dan kemahiran latihan menjadi simbol kejayaan badan beruniform ini dalam kerangka membentuk peribadi ahli yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah hingga golongan dewasa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jambori Lencana Kepandaian Pengakap Kanak-kanak dan Remaja daerah Lipis, di Kem Pengakap Kampung Chat, Benta, dekat sini baru-baru ini.
Hadir sama Pegawai Pelajaran Lipis, Misnan Mohd. Damin dan Penolong Pegawai Pelajaran Lipis (Pembangunan Manusia), Shahrom Othman.
Seramai 80 guru Pengakap dan 412 ahli Pengakap Kanak-Kanak, Pengakap Muda dan Pengakap Remaja dari sekolah rendah serta menengah daerah ini menyertai perkhemahan selama lima hari itu.
Menurut Mohamad Shahrom, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) yang kini berusia 112 tahun penubuhannya wajar dicontohi oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain kerana kejayaannya membentuk integrasi nasional dalam kalangan anggota badan beruniform tersebut.
Katanya, bagi mengaplikasikan konsep 1Malaysia, perkara asas yang ditekankan menerusi latihan kepada pelajar dan pemimpin Pengakap (guru) adalah disiplin, kerjasama, hormati-menghormati dan perpaduan.
"Saya yakin Perdana Menteri berasa bangga dengan semangat muhibah dalam kalangan ahli Pengakap yang juga antara NGO yang tertua di negara ini,'' jelasnya.

Comments

Popular posts from this blog

P.O.R

KARTUN

TOKOH PENGAKAP - MR. LLYOD TAN POA CHAN