KLKM PERLU LEBIH MENONJOL


usmpengakap
CERIA... Sebahagian rakaman foto Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri, KLKM 2011 di Dewan Budaya, USM.
Pulau Pinang, 21 Mei - Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM) disaran supaya lebih aktif dan menonjolkan diri terutama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi melahirkan ahli pengakap yang lebih berwibawa dan berketrampilan.
Ketua Pengakap Negara, Dato’ Seri Paduka Dr. Shafie Hj. Mohd Salleh berkata, ketrampilan badan beruniform itu perlu diketengahkan dengan lebih jelas supaya fungsi dan peranannya kepada masyarakat mampu dilaksanakan secara lebih berkesan.
Katanya, selain nilai ketrampilan, kemahiran kepengakapan yang dipelajari dalam KLKM juga perlu diaplikasikan bagi menjamin kehidupan yang lebih bermakna dan sejahtera.
`` Dalam meneroka hidup dalam arus pemodenan yang semakin mencabar, golongan muda diingatkan agar mempunyai nilai IQ yang tinggi dan mampu membuat keputusan yang terbaik, di samping mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam penyertaan ke badan beruniform,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri, KLKM 2011 yang berlangsung di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.
Tambah beliau, di luar negara, pemimpin-pemimpin mudanya mempunyai IQ yang tinggi dan kelebihan tersebut menjadikan mereka disanjung oleh masyarakat.
``Namun tidak dinafikan, saya turut berbangga apabila melihat pencapaian ahli-ahli pengakap di negara kita juga tidak kurang hebatnya dan mampu melahirkan idea-idea yang bernas bagi menjadikan KLKM lebih dihormati di peringkat global,’’ jelas beliau.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak pula berkata, penganugerahan yang pertama kali diadakan oleh Majlis Pengakap Negeri KLKM itu bertujuan untuk menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin kelanasiswa yang terlibat dalam kegiatan ko-kurikulum di institut pengajian tinggi (IPT) masing-masing.
``Pergerakan pengakap secara amnya dan KLKM khususnya telah banyak berjasa dalam melatih bakal-bakal graduan menguasai dan mengamalkan kemahiran insaniah dalam diri ahli-ahlinya.
``Sejajar dengan jasa yang telah begitu banyak ditabur dan jika dilihat, sejarah penubuhan pengakap di negara kita yang diketuai Mr. H.R.Cheeseman pada 1915 di Pulau Pinang, saya mencadangkan agar ditubuhkan Muzium Pengakap di Pulau Pinang dan USM bersedia menyediakan tapak bagi merealisasikan hasrat tersebut,’’ katanya.
Tambah Dzulkifli, bagi menjadikan pasukan pengakap dan kelanasiswa lebih berkemahiran tinggi dan professional di peringkat antarabangsa,beliau turut mencadangkan agar sebuah Akademi Pengakap ditubuhkan dan USM bersedia untuk dijadikan pusat bagi pergerakan akademi tersebut.
Dalam majlis yang sama, turut dilangsungkan Istiadat Pengalungan Manikayu Persekutuan Pengakap Malaysia, Penyampaian Watikah Pelantikan dan Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia kepada hampir 60 orang penerima.
Turut diraikan, Dato’ Abdul Razak Abdul Hamid yang juga ayahanda kepada Naib Canselor USM merangkap Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri KLKM yang dianugerahkan Pingat 100 Tahun Pengakap Malaysia, satu anugerah berprestij yang diberikan kepada individu atau tokoh yang telah menyumbang jasa besar kepada pembangunan pasukan pengakap negara.
Antara kenamaan yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajjah Majimor Shariff, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat serta hampir 200 ahli-ahli pengakap dari beberapa institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Comments

Popular posts from this blog

P.O.R

KARTUN

TOKOH PENGAKAP - MR. LLYOD TAN POA CHAN