Shafie Salleh dilantik Ketua Pengakap Negara


Yang di-Pertuan Agong menyampaikan watikah pelantikan Ketua Pengakap Negara kepada Shafie (Foto: Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Salleh hari ini menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Pengakap Negara untuk tempoh lima tahun mulai 1 April lepas hingga 31 Mac 2010.

Watikah itu disampaikan oleh Yang diPertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Istana Negara.

Jawatan Ketua Pengakap Negara sebelum ini disandang Tan Sri Sulaiman Daud yang juga bekas Menteri Pendidikan.

Bercakap kepada pemberita di sini, Dr Shafie berkata Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) akan melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Pengakap 2006-2010 bagi menangani segala cabaran yang dihadapinya.

"Ia juga akan mengetengahkan PPM sebagai pertubuhan yang akan turut memberikan sumbangan penting kepada kemakmuran dan kemajuan negara," katanya mengenai pelan itu yang dijangka diumumkan selepas pelancaran Rancangan Malaysia Kesembilan.

Dianggarkan 400,000 orang kini menjadi anggota pengakap di negara ini, dan Dr Shafie berkata pertubuhan pengakap akan diwujudkan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

"Saya akan pergi ke setiap IPTA dan IPTS untuk melancarkannya," katanya.

Selain itu, Dr Shafie berkata PPM telah dianugerahkan sebidang tanah seluas 32.5 hektar di Negeri Sembilan yang akan dijadikan kem pengakap antarabangsa.

"Kita akan cari dana untuk membangunkannya. Kita mahukan anak-anak kita sekarang, termasuk yang menunggu keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia, mempunyai aktiviti khusus.

"Kita akan buat banyak kursus nanti seperti kursus ketahanan diri selain yang memupuk semangat cintakan tuhan, raja dan negara," katanya. BERNAMA

Sumber bahan : http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2005/12/22/TERKINI/Mutakhir/Shafie_Salleh_dilantik_Ketua_Pengakap_Negara&sec=mstar_berita

Comments

Popular posts from this blog

P.O.R

KARTUN

TOKOH PENGAKAP - MR. LLYOD TAN POA CHAN