CONTOHI KEJAYAAN PENGAKAP

ARKIB : 26/04/2009

Contohi kejayaan pengakap

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan SAIFUL HAIZAN HASAM


MUHYIDDIN Yassin yang mengiringi Tun Abdullah Ahmad Badawi bergambar dengan pengakap pada Majlis Sambutan 100 Tahun Persekutuan Pengakap Malaysia di Stadium Negara, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Ahmad Shabery Cheek dan Dr. Shafie Salleh. - Mingguan/ASWAD YAHYA


KUALA LUMPUR 25 April - Persekutuan Pengakap Malaysia yang kini mencecah usia 100 tahun harus dicontohi kerana kejayaannya membentuk integrasi nasional di kalangan anggota badan beruniform tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat perpaduan jitu berjaya dibentuk di negara ini melalui gagasan Satu Malaysia.
Selain itu beliau berkata, penghayatan ilmu dan asas kesetiaan kepada pemimpin turut menjadi simbol kejayaan badan tersebut dalam membentuk peribadi para anggotanya yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah hingga golongan dewasa.
''Sedar atau tidak dalam usianya 100 tahun, pengakap adalah pendukung dasar kerajaan dalam membina generasi dan insan madani yang kaya semangat patriotisme.
''Melalui sifat-sifat ini ia boleh membantu kerajaan membina gagasan Satu Malaysia yang tiada batas kaum dan juga kepercayaan seperti yang dicetuskan oleh Perdana Menteri kita yang baru,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan 100 Tahun Pengakap Malaysia di Stadium Negara di sini hari ini.
Turut menyertai sambutan itu ialah Presiden Agung Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr. Shafie Salleh.
Kira -kira 5,000 pemimpin dan ahli pengakap dari seluruh negara serta wakil-wakil pengakap antarabangsa dari 15 negara hadir pada sambutan bersejarah itu.
Muhyiddin berkata, anggota pengakap juga mempunyai semangat patriotisme yang sangat tinggi, cergas fikiran, cerdas akal fikiran serta berkeperibadian unggul.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihak kementerian akan memantapkan lagi aktiviti badan-badan beruniform yang dijalankan di sekolah kerana ia memberi kesan positif ke atas pelajar.
Beliau berkata, pergerakan pengakap merupakan contoh terbaik tentang kejayaannya dalam melahirkan pelajar-pelajar yang lebih berdikari dan sedia berhadapan segala kemungkinan.
''Pihak kementerian sentiasa memikirkan cara kita mahu memajukan lagi bidang kokurikulum kerana kita dapati semua kegiatan ini memberi banyak faedah kepada pelajar selain menjadi syarat untuk ke universiti,'' katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau meminta ibu bapa supaya tidak menghalang anak-anak mereka daripada menyertai kegiatan kokurikulum.
''Saya amat berharap ibu bapa tidak menyekat anak-anak mereka menyertai kegiatan kokurikulum seperti menyertai pasukan pengakap. Sepatutnya mereka lebih menyokong anak-anak mereka menyertai kegiatan seperti ini.
''Lihat sahaja Tun Abdullah, berdasarkan ucapannya beliau mengakui keperibadiannya banyak dibentuk hasil daripada penyertaan dalam bidang pengakap sejak sekian lama,'' ujarnya.

Comments

Popular posts from this blog

P.O.R

KARTUN

TOKOH PENGAKAP - MR. LLYOD TAN POA CHAN