Berita Pengakap ( 2006 )

Tanamkan Sikap Cintakan Alam Sekitar Di Kalangan Pengakap
19 Disember, 2006 22:22 p.m

KUALA PILAH, 19 Dis (Bernama) -- Semangat cintakan alam sekitar perlu ditanam pada diri setiap anggota pasukan pengakap dan dijadikan sebagai salah satu aktiviti ketika perhimpunan besar seperti jambori, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman Said hari Selasa.Beliau berkata ini penting dalam membantu usaha kerajaan memupuk semangat cintakan alam sekitar di kalangan generasi muda negara ini."Selain aktiviti perkhemahan serta aktiviti yang lainnya aktiviti yang menyemai sikap cintakan alam sekitar hendaklah dimasukkan sebagai salah satu acara penting dalam perhimpunan pengakap seperti jambori," katanya ketika menutup Jambori Pengakap Malaysia ke-11 di Pusat Rekreasi Ulu Bendul, dekat sini.Seramai 6,000 orang pengakap menyertai jambori itu termasuk dari Indonesia, Maldives, Sri Lanka, Brunei, Singapura dan England. Jambori selama lapan hari itu telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman pada 12 Dis.Azalina berkata kerajaan akan sentiasa memberi sokongan dan bantuan dalam usaha memperkasakan pasukan pengakap kerana yakin pasukan itu dapat membantu melahirkan golongan masyarakat yang berkualiti."Kalau diimbas, tidak dapat dinafikan ramai dari kalangan pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri merupakan bekas anggota pengakap," katanya.Beliau berkata sumbangan besar pasukan pengakap dalam melahirkan golongan belia yang berdisiplin dan tidak terlibat dalam gejala sosial tidak perlu disangkal lagi.Justeru, katanya apa yang penting sekarang ialah untuk memperkasakan lagi pasukan itu agar dapat menarik lebih ramai golongan belia menyertainya.Kerajaan, katanya, komited ke arah itu dan akan menambah peruntukan bagi memperbaiki kemudahan prasarana dan infrastruktur kem pengakap seluruh negara.Sehubungan itu, katanya sebuah kem pengakap antarabangsa akan didirikan di Rembau Negeri Sembilan dan kerajaan negeri berkenaan telahpun bersetuju memberi tapak seluas 130 ekar untuk tujuan berkenaan.Beliau berkata kem itu nanti akan menyediakan latihan kepada pemimpin pengakap dari dalam dan luar negara serta aktiviti lain yang melibatkan kumpulan itu.Azalina berkata selain pengakap, kem itu juga boleh digunakan oleh pasukan beruniform yang lain untuk menjalankan aktiviti masing-masing.Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia Prof Datuk Kamaruddin Kachar berkata pihaknya mempunyai matlamat menambah bilangan anggota pengakap seluruh negara daripada 200,000 orang sekarang kepada satu juta pada 2010 dan 2 juta orang pada 2015.Pada majlis itu Azalina menerima pingat Semangat Rimba Emas daripada Ketua Pengakap Negara Datuk Seri Dr Shafie Salleh.Beliau kemudian menyerahkan bendera jambori kepada Anggota Exco Selangor Datuk Amran Kasimin yang mewakili pasukan pengakap Selangor yang akan menjadi tuan rumah Jambori ke-12 pada 2010.-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

P.O.R

KARTUN

TOKOH PENGAKAP - MR. LLYOD TAN POA CHAN