Jambori Keamanan Antarabangsa Melaka
ARKIB Utusan Online: 20/08/2008
Pengakap mampu bantu wujudkan keamanan sejagat - PM
|
|
MELAKA 20 Ogos — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pergerakan pengakap mampu membantu dalam mewujudkan keamanan sejagat berdasarkan kepada falsafah mereka yang menjurus kepada penekanan terhadap aspek mengenai persaudaraan, kedamaian dan keamanan.
Perdana Menteri berkata, anggota pengakap di seluruh dunia disemai dengan semangat persaudaraan yang tinggi, cintakan keamanan, kedamaian dan bersedia memberi pertolongan pada bila-bila masa.
“Pengakap adalah satu pergerakan yang global,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jambori Keamanan Antarabangsa Ketiga Pengakap di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini hari ini.
Jambori selama tujuh hari yang bermula sejak 18 Ogos lepas, dihadiri kira-kira 1,000 peserta dari negara rantau Asia Pasifik seperti Mesir, Lubnan, Thailand, Yaman, Kuwait, Indonesia, Turki dan Malaysia.
Abdullah yang juga Presiden Persekutuan Pengakap Malaysia berkata melalui jambori yang diadakan itu, anggotanya boleh berbincang sesama mereka mengenai pelbagai perkara-perkara ke arah mewujudkan keamanan dan kedamaian. - BERNAMA
Perbuatan kurang ajar - PM
|
|
MELAKA 20 Ogos - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membidas tindakan sebuah laman blog meminta rakyat mengibar Jalur Gemilang secara terbalik sebagai tanda tidak puas hati dengan apa yang berlaku dalam kerajaan.
Sambil menyifatkan perbuatan tersebut sebagai kurang ajar, Perdana Menteri menegaskan, polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkenaan bagi mengelakkan ia berulang.
''Apa yang mereka marah sangat dengan bendera Malaysia? Mereka minta bendera kita digantung terbalik adalah menghina diri kita sebagai rakyat Malaysia.
''Saya harap polis bertindak terhadap mereka ini jika ia betul-betul berlaku," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Perhimpunan Jambori Keamanan Pengakap Antarabangsa Ke-3 di Dataran Pahlawan di sini hari ini.
Lebih 1,000 pengakap negara ini, negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Asia Pasifik menyertai perhimpunan tujuh hari itu bermula 18 Ogos lalu.
Abdullah sebelum itu diminta mengulas tindakan sebuah laman blog menyeru rakyat supaya mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sebagai tanda tidak puas hati dengan apa yang berlaku dalam kerajaan.
Beliau menegaskan, perbuatan seperti itu sering berlaku dalam laman-laman blog yang sering melakukan perkara tidak berfaedah dan akhirnya mendatangkan kesusahan kepada rakyat.
Beliau berkata, penulis blog seperti itu bukannya hendak memberi pandangan baik dan membina tentang negara mereka tetapi memberi idea mengenai perkara-perkara jahat.
''Itulah kerja pihak laman blog, mereka ini hanya pandai membuat kerja seperti ini yang sengaja mendatangkan kesusahan kepada rakyat," katanya.
Sementara itu di Melaka, Abdullah Ahmad Badawi berkata, pergerakan pengakap mampu membantu mewujudkan keamanan sejagat berdasarkan kepada falsafahnya yang menjurus kepada penekanan terhadap aspek persaudaraan, kedamaian dan keamanan.
Perdana Menteri berkata, anggota pengakap di seluruh dunia disemai dengan semangat persaudaraan yang tinggi, cintakan keamanan, kedamaian dan bersedia memberi pertolongan pada bila-bila masa.
"Pengakap adalah satu pergerakan global yang boleh dikatakan wujud hampir di semua negara," katanya.
Abdullah yang juga Presiden Agung Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia berkata, melalui jambori itu, anggotanya boleh berbincang mengenai pelbagai perkara ke arah mewujudkan keamanan dan kedamaian.
"Ini pun adalah satu pendekatan untuk keamanan dan mereka (pengakap) juga membuat banyak aktiviti untuk mengukuhkan lagi persaudaraan sesama mereka,'' katanya.
Petikan Akhbar Utusan Online 21082008
Ahli Pengakap yang berpegang kepada Persetiaan dan Undang-undang Pengakap tidak akan menjadi seorang yang " kurang ajar "
Comments