Pengakap Mesti Ada Perasaan Kasih Sayang

20 November, 2006 14:24 PM

Pengakap Mesti Ada Perasaan Kasih Sayang, Kata Abdullah

JASA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan pingat Bintang Semangat Rimba Kelas Kedua (Perak) kepada Abu Bakar Mohamed, 78, sambil diperhatikan Ketua Pengakap Malaysia, Dato' Sri Dr Haji Shafie Mohd Salleh pada Majlis Penganugerahan Bintang Dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia Peringkat Kebangsaan. Foto: Hamzah Md Som

MELAKA, 20 Nov (Bernama) -- Sebagai seorang bekas anggota pengakap, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau tahu pengakap mengutamakan pembentukan sahsiah dan peribadi mulia serta bersemangat untuk bekerja secara sukarela terutama membantu golongan yang memerlukan.

Perdana Menteri berkata bagi menjadi anggota Pengakap terbaik dan sedia bekerja membantu orang yang memerlukan bantuan, seseorang itu mestilah sentiasa mempunyai perasaan kasih sayang dalam jiwa mereka.

"Jika ada nilai kasih sayang ini maka InsyaAllah perpaduan sesama kita akan erat, teguh, dan perpaduan kita dalam masyarakat akan teguh," katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia di sini Isnin.

Abdullah, yang juga Presiden Agung Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia, berkata perasaan kasih sayang yang tulen tidak mengenal batasan agama dan bangsa.

"Jika ini menjadi nilai pegangan kita, jika ini juga menjadi pendorong yang kuat bagi kita, setiap hari apabila kita melaksanakan kerja bukan sahaja semasa memakai uniform pengakap tetapi bila masa tanpa uniform pengakap, bangsa kita akan menjadi bangsa yang bersatu padu," katanya.

Pada majlis hari ini, seramai 302 orang tokoh dan pemimpin Pengakap dan orang perseorangan yang telah memberi khidmat terbaik secara berterusan dalam pengembangan dan pembangunan pengakap Malaysia dianugerahkan bintang dan pingat.

Seramai lima orang dianugerahkan Bintang Semangat Padi Kelas Pertama (Emas) iaitu bintang tertinggi dalam pengakap. Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Kol. Prof Datuk Kamarudin Kachar, Pesuruhjaya Latihan Negara Yeoh Seng Choon, bekas Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Datuk Hamidin Abdullah dan bekas Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Malaysia Tan Sri Elyas Omar.

Najib dan Elyas akan menerima anugerah masing-masing pada satu majlis yang akan ditetapkan kemudian.

Persekutuan Pengakap Malaysia turut menganugerahkan bintang kepada sembilan orang tokoh dan pemimpin dari Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura. Mereka termasuk Menteri Koordinator Kesejahteraan Rakyat Indonesia Aburizal Bakrie dan Gabenor Riau Rusli Zainal.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Pengakap Malaysia Dato' Sri Dr Shafie Mohd Salleh.

-- BERNAMA

sumber :http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=231238

Comments

Popular posts from this blog

P.O.R

KARTUN

TOKOH PENGAKAP - MR. LLYOD TAN POA CHAN